Bilangan individu ingkar SOP terus naik  - Utusan Malaysia

Bilangan individu ingkar SOP terus naik 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam bertambah untuk hari ketiga berturut-turut.

 Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 611 individu ditahan berbanding 509 individu  kelmarin dan 432 individu pada Jumaat lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 584 dikompaun, manakala 27  direman dengan kes paling tinggi ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 169 kes,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Kesalahan kedua tertinggi ialah tiada alat rekod butiran diri (122), rentas kawasan tanpa izin (91), tiada pelitup muka (90), kegiatan sukan (40), aktiviti pusat hiburan (32), premis dibuka lebih masa (30) dan lain-lain (37).

Kesemua pesalah itu dikompaun oleh Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan  71,653 pemeriksaan dan melibatkan penugasan 3,195 pasukan di seluruh negara.

 Ismail Sabri berkata, pasukan tersebut memantau 6,005 restoran, 4,725 pasar raya, 4,004 bank, 3,755 rumah ibadah, 2,958 penjaja, 2,291 pasar awam dan 1,660 kilang.

Turut dipantau ialah 1,661 tempat riadah serta 778 pejabat kerajaan selain 1,163 terminal pengangkutan darat, 301 terminal pengangkutan air dan 132 terminal pengangkutan udara.

Seramai 47 pendatang asing tanpa izin ditahan dan enam lagi diusir melalui Op Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak lapan kenderaan darat dan sebuah bot dirampas selain 161 bot atau kapal yang dicurigai dikesan dekat perairan negara melalui lima operasi,” tegas Ismail Sabri.

Selain itu, beliau memaklumkan sebanyak 80 operasi sanitasi awam dilaksanakan  di seluruh negara  meliputi 29 zon merah, empat zon jingga, 15 zon kuning dan tiga zon hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN