Beting pasir 'belah' laut di Langkawi - Utusan Malaysia

Beting pasir ‘belah’ laut di Langkawi

PENGUNJUNG mengambil peluang melihat lebih dekat Pulau Penyu hanya dengan berjalan kaki di atas beting pasir sejauh 600 meter di Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Fenomena air surut penuh sehingga menyebabkan terbentuk beting pasir sepanjang 600 meter (m) yang hanya muncul sekali dalam setahun di Tanjung Rhu, di sini dapat dilihat pada pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi semalam.

Pembentukan beting pasir ini biasanya boleh dilihat daripada pantai setiap kali bulan mengambang penuh, tetapi fenomena setahun sekali ini lebih unik apabila paras air laut surut sepenuhnya sehingga laut kelihatan seperti dibelah.

Seorang pengunjung, Zoher Mustan, 56, berkata, jumlah pengunjung ebih ramai daripada kebiasaan apabila orang ramai mula memenuhi pantai tersebut sebelum matahari terbit.

Katanya, kira-kira 300 orang mengunjungi pantai tersebut seawal pukul 6 pagi semalam.

“Kebiasaannya ada acara sampingan dianjurkan sempena fenomena ini setiap tahun, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 tiada sebarang acara diadakan pada tahun ini dan kebanyakan pengunjung mengetahui fenomena itu selepas tular dalam media sosial.

“Fenomena ini membolehkan kita melihat pelbagai hidupan laut yang terdampar di atas beting pasir ini antaranya siput duri, tapak sulaiman, deduit laut dan sotong katak,” katanya ketika ditemui.

Zoher yang juga pemandu pelancong alam semula jadi sambilan berkata, pengunjung boleh berjalan kaki di atas beting pasir tersebut yang menghubungkan pantai dengan pulau kecil berhampiran seperti Pulau Cabang, Pulau Penyu dan Pulau Kelam Baya.

“Tetapi kalau hendak ke pulau tersebut perlu datang lebih awal, kerana pembentukan beting pasir ini cuma kelihatan dalam masa sejam 30 minit. Kalau terlewat nanti tenggelam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya