Bersatu, Pas tolak jajaran baharu lepas Pilihan Raya Umum

Bersatu, Pas tolak jajaran baharu lepas PRU-15

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menegaskan menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasaan memaklumkan, kedua-dua parti akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya umum.

Kata kenyataan itu lagi, kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan semalam bagi merangka hala tuju kerjasama lebih mantap dan berstrategik dalam PN.

“Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan kerajaan PN dalam membela kebajikan rakyat dan terutama buat masa ini bagi menangani wabak Covid-19, kepemimpinan tertinggi Bersatu dan Pas bersetuju dengan ketetapan asas iaitu mengukuhkan kerjasama dalam hadapi PRU-15.

“Bersatu dan Pas selaku antara parti pengasas utama PN akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategik dan hala tuju parti khususnya bagi menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, Bersatu dan Pas komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong konsep tersebut.

Tegas mereka, ia sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah terjalin dan sebarang percubaan mengugut kerajaan PN yang dibina secara bersama.

“Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputera dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya