Bekas pengarah syarikat sewaan kapal didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat sewaan kapal didakwa rasuah

CHEW Ben Ben dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan rasuah melibatkan penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah syarikat penyewaan kapal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM321,350 sebagai imbuhan memberikan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak tahun lalu. 

Tertuduh, Chew Ben Ben, 64, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ben Ben yang juga bekas guru itu telah memberikan suapan kepada seorang ketua pegawai operasi sebuah syarikat untuk suapan faedah dirinya sejumlah RM321,350 sebagai upah memastikan syarikat terbabit dianugerahkan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Kinrara, Puchong di antara 29 Jun dan 14 Oktober 2020. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24 (1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM150,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah. 

Tertuduh yang diwakili tiga peguam Bernard Francis, Chong Ki Keong dan Azim Razak tidak memohon pengurangan jaminan tetapi memaklumkan ini pertuduhan pertama dihadapi anak guamnya dan penanggung keluarga utama.

“Kami hanya memohon pasport diserahkan sehingga Isnin ini dengan tiada kerisauan untuk lari kerana telah memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sebelum ini,” katanya. 

Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Mei ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya