Bekas peguam didakwa pindah wang RM4,000 hasil aktiviti haram - Utusan Malaysia

Bekas peguam didakwa pindah wang RM4,000 hasil aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Dua bulan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas  pertuduhan pecah amanah, seorang bekas peguam didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan memindahkan wang RM4,000 hasil aktiviti haram, lapan tahun lalu. 

Bagi setiap tuduhan, Zainal Fikri Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah memindahkan RM2,000 daripada akaun semasa Tetuan Zainal & Badrol Peguam Bela & Peguamcara ke dalam akaun semasa dua buah bank bkepunyaan isterinya, Zaleha Abdul Kadir.

Tertuduh yang kini bertugas secara sambilan sebagai perunding sebuah syarikat guaman didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu pada 30 Januari dan 26 Februari 2013 di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Cawangan Utama Kuala Lumpur di Jalan Ampang di sini.

Zainal Fikri didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbullah Adam membenarkan bapa kepada tiga anak itu dijamin RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes disebut pada 1 April ini.  

Mahkamah menetapkan jaminan itu selepas mengambil kira jumlah jaminan RM20,000 yang ditetapkan  Mahkamah Sesyen Pulau Pinang untuk kes pecah amanah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt agar kes itu dipindahkan ke Pulau Pinang untuk perbicaraan bersama. Tertuduh diwakili  peguam Nizamuddin Hamid.

Pada 15 Januari lalu, bekas peguam itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang RM1.37 juta berhubung pembelian tanah milik Syarikat JKP Sdn. Bhd. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN