Bekalan telur di pasaran tempatan mencukupi - Rosol

Bekalan telur di pasaran tempatan mencukupi

ROSOL Wahid (kanan) meninjau jualan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart di pekarangan Masjid Al-Amin Kampung Buluh di Hulu Terengganu, Terengganu hari ini. - FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan memberi jaminan bekalan telur di pasaran tempatan tidak terjejas susulan penarikan balik telur keluaran ladang CES 008 milik syarikat Lay Hong Berhad yang dicemari bakteria Salmonella Enteriditis (SE).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, negara mempunyai 50 syarikat pengeluar telur ayam terbesar dan bekalan di pasaran mencukupi untuk mampu menampung permintaan orang ramai termasuk pada bulan Ramadan.

Katanya, sepanjang 1 hingga 7 Mac lalu pengeluaran telur ayam di Malaysia adalah sebanyak 206,457,920 biji dengan baki semasa ialah 68,712,011 biji.

“Setakat ini, isu SE tidak memberi kesan terhadap pasaran tempatan dan harga telur juga masih kekal, jadi saya minta pengguna agar tidak melakukan pembelian panik

“Peniaga pula diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur susulan isu ini kerana tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart di pekarangan Masjid Al-Amin Kampung Buluh, di sini hari ini. 

Kelmarin, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur yang dihasilkan syarikat terbabit sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penemuan SE yang boleh menyebabkan penyakit jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak. 

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kementerian itu tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai orang tengah atau ejen bagi mendapatkan lesen jualan langsung.

Katanya, segala urusan berkaitan lesen berkenaan perlu dilakukan melalui saluran rasmi sekali gus meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan mana-mana perunding, orang tengah atau ejen yang menyamar.

“Kita ada menerima aduan dan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memperdaya orang ramai hingga menyebabkan kerugian besar kepada mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN