SEREMBAN: Seorang jurutera audio memperuntukkan masa hampir enam jam sehari selepas pulang dari tempat kerja untuk membaiki komputer terpakai yang kemudian diberikan secara percuma kepada pelajar untuk digunakan ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Cheah Kok Hon, 42, berkata, dia terpanggil membantu golongan yang memerlukan selepas mengetahui beberapa keluarga rakan karib anaknya yang mengalami kesukaran untuk mengikuti PdPR.
“Anak saya memaklumkan ada rakan-rakannya yang mengalami masalah tiada komputer malah ada juga yang tiada telefon sesuai untuk ikuti PdPR. Saya ada memberitahu mereka (ibu bapa) terdapat komputer berharga serendah RM150 namun itu pun mereka masih tidak mampu.
“Oleh itu, saya membantu mereka dengan membaiki komputer terpakai secara percuma bagi memastikan pelajar-pelajar dapat belajar. Saya terbuka hati semasa cuti Tahun Baharu Cina yang lalu, saya bercuti lima hari dan memperuntukkan masa enam jam sehari untuk membaiki komputer terpakai,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas Program Sumbangan Peranti PdPR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3 dekat sini, semalam.
Kok Hon memberitahu, dia pada awalnya hanya membuat hantaran di Facebook miliknya bagi memaklumkan hasrat mengumpulkan komputer riba terpakai, namun tanpa disangka mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya menerima sambutan luar biasa sehingga mampu mengumpulkan sebanyak 90 unit komputer dan komputer riba terpakai namun 25 peratus daripadanya tidak boleh diperbaiki serta digunakan lagi.
“Saya membaiki dan menyerahkan 70 komputer terpakai kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, tiada kos yang dikeluarkannya namun dia perlu mengumpul dana kewangan bagi membeli barangan alat ganti beberapa peralatan dalam komputer yang rosak.
“Barangan tambahan seperti papan kekunci dan kamera (webcam) dibeli menggunakan dana kewangan yang diberi. Saya hanya membaiki komputer secara percuma,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu, Nur Azila Abu Bakar, 45, memaklumkan, dia sangat menghargai sumbangan komputer riba berkenaan kerana hanya mempunyai seunit telefon bimbit untuk digunakan tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Saya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli komputer riba untuk anak-anak dan suami hanya seorang pekerja binaan rumah. Saya ucapkan terima kasih atas pemberian komputer ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE