APM Muallim rawat ular tedung selar cedera dipukul - Utusan Malaysia

APM Muallim rawat ular tedung selar cedera dipukul

ANGGOTA APM Muallim merawat luka di kepala ular tedung selar yang ditangkap dalam operasi di sebuah rumah di Kampung Naran, Tanjung Malim, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sikap ihsan terhadap haiwan mendorong sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim merawat kecederaan dialami seekor ular tedung selar dipercayai dipukul.

Reptilia sepanjang tiga meter yang cedera di kepala itu ditemukan dalam operasi pada pukul 11.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Naran, dekat sini hari ini.

Pegawai APM Muallim, Kapten Shahrizal Hussin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk merawat ular itu sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, ular itu ditemukan dalam operasi di sebuah rumah selepas penghuni memaklumkan kehadiran haiwan berbisa itu.

“Apabila tiba di lokasi, pengadu memberitahu ular itu masuk ke dalam rumah melalui celahan besi tingkap.

“Operasi segera dijalankan sebelum menemui reptilia itu di celah sinki di bahagian dapur sebelum anggota menangkapnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ular tersebut didapati cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek tajam.

Katanya, haiwan itu dibawa balik ke pejabat APM Muallim yang mana anggota merawat luka ular tersebut dengan cecair pembasmi kuman.

“Kita rawat terlebih dahulu sebelum serahkan kepada Perhilitan Sungkai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya