Anwar berunding dengan Zahid, Najib tubuh kerajaan

Anwar berunding dengan Zahid, Najib

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merujuk tentang tindakan Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘Kluster Mahkamah’.

Namun, kata beliau, DAP mungkin boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR itu, tetapi lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah.

Chin Tong mengulas kenyataan pihak tertentu berhubung Langkah Sheraton yang menyatakan bahawa Anwar didekati untuk menyertai rampasan kuasa untuk membentuk kerajaan yang hanya berbangsa Melayu tetapi menolak tawaran tersebut kerana syaratnya adalah mengecualikan DAP.

NAJIB Tun Razak bersama Ahmad Zahid Hamidi ketika menunggu keputusan kes babitkan bekas perdana menteri itu di Kuala Lumpur.

“Mungkin pandangan tersebut bertujuan untuk memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan Ahmad Zahid dan Najib dari UMNO. 

“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘Kluster Mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah,” kata Chin Tong dipetik menerusi blog beliau, semalam.

Dalam satu wawancara bersama portal dalam talian, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu mendakwa Anwar pernah ditawarkan untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi Ketua Pembangkang itu menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut dilaporkan berasa terkejut dengan kenyataan Nik Nazmi itu yang mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau telah berjumpa dengan Anwar berkali-kali selepas gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan PH itu.

Namun, jelasnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak pernah sekali pun menyebut mengenai dakwaan itu.

“Saya telah berjumpa dengan Anwar beberapa kali dalam minggu-minggu selepas Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 dan juga dalam bulan-bulan selepas itu, namun tidak ada sekali pun Anwar menceritakan mengenai Langkah Sheraton seperti yang diceritakan oleh Nik Nazmi ini,” jelasnya.

Baru-baru ini, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, Ahmad Zahid perlu berterus-terang dan menjelaskan kepada akar umbi parti mengenai isu kerjasama dengan DAP-PH.

Ujar Abdul Aziz, ini kerana banyak spekulasi tersebar di mana-mana platform media sosial apatah lagi dibuktikan dengan gambar-gambar Ahmad Zahid dengan Anwar yang diketahui ramai mempunyai hubungan akrab suatu masa dahulu.

Justeru, pengakuan secara terbuka perlu dibuat Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini sekali gus menepis segala dakwaan tidak benar bahawa wujudnya satu hubungan yang melanggar dasar parti, ‘No DAP, No Anwar’, jelasnya.

Pada 16 Mac yang lalu, Anwar tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara PKR dengan UMNO tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu lima wakil rakyat pembangkang termasuk seorang Ahli Dewan Negara menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat dan menggesa blok pembangkang terus diperkukuhkan.

Mereka melibatkan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahudddin Ayub (Timbalan Presiden Parti Amanah Negara); Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman (Ketua Wira Parti Warisan Sabah) dan Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara.

Dua lagi ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Pengasas Muda) dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya