KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang berkhidmat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, dekat sini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, September lalu.
Tertuduh, Mohd. Ridhuan Kasah, 43, yang juga penolong penyiasat jenayah didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi bepada 18 September dan 19 September 2020.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 18 September 2020 pukul 5 petang, tertuduh secara rasuah memperoleh RM1,000 daripada pengadu, Syed Mohd. Firdaus Syed Hussin melalui serahan tangan di bilik pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pekan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memperoleh RM1,000 juga melalui serahan tangan daripada pengadu sama pada 19 September 2020 di Pekan Station 2, di bandar Pekan, kira-kira pukul 12.30 petang.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Terdahulu, mahkamah manawarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin.
Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Saifuldin Ab Rahman memohon agar jaminan dikurangkan kerana berpendapatan sekitar RM1,500 dan mempunyai tanggungan seorang isteri, empat anak masih bersekolah dan ibu yang menghidap kencing manis.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di IPD Pekan setiap hujung bulan, bermula April depan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE