PETALING JAYA: Jumlah rampasan dadah mencecah berbilion ringgit menunjukkan ancaman dadah antara jenayah yang perlu dipandang serius warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jumlah rampasan, sitaan harta serta kerugian dilaporkan selain puluhan operasi dijalankan bagi menumpaskan sindiket menunjukkan jenayah tersebut serius.
“Bagaimanapun usaha PDRM menangani isu ni berdepan dengan masalah kekurangan anggota dan pegawai yang begitu mendesak sekali,” katanya ketika Majlis Sambutan Hari Polis Ke- 214 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kes jenayah konvensional dilihat menurun akibat ‘omnipresence’ ribuan anggota polis di merata tempat seluruh negara.
Ujarnya, hal ini juga menyebabkan penurunan melibatkan kes jenayah konvensional.
“Kewujudan ratusan sekatan jalan raya menyukarkan penjenayah untuk bergerak bebas namun dari sudut lain pula kes jenayah bukan konvensional didapati meningkat dan ini amat membimbangkan.
“Kes sumbang mahram, pornografi kanak-kanak, buli siber, penipuan dalam talian dan bunuh diri amat sukar dicegah kerana dipercayai sebilangan besar mangsa berasa malu ataupun takut untuk tampil membuat aduan,” katanya. – UTUSAN ONLINE