GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan amaran situasi tahap satu di negeri ini bermula hari ini ekoran kapasiti di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam mencatatkan penurunan sejak 1 Januari lalu akibat musim kemarau.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, dalam tempoh 1 Januari hingga semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang masing-masing menurun sebanyak 17.9 peratus dan dua peratus kerana hujan tidak mencukupi untuk memulihkan pelepasan harian.
“Empangan Air Itam dan Teluk Bahang tidak penuh 100 peratus sejak 1 Januari kerana hujan tidak mencukupi pada tahun 2019 dan 2020.
“Pada kadar efektif setakat semalam (77.3 peratus) Empangan Air Itam mampu membekalkan air sehingga 75 hari manakala Empangan Teluk Bahang (56.7 peratus) boleh membekalkan air sehingga 170 hari lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Empangan Air Itam, di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan, fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas berpanjangan.
Kawasan perkhidmatan utama Empangan Air Itam adalah Air Itam dan Paya Terubong manakala kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang pula merangkumi Teluk Bahang, Batu Ferringghi dan Tanjung Bungah.
Menurut beliau, PBAPP akan mencadangkan operasi pembenihan awan kepada kerajaan negeri bagi mencetuskan lebih banyak taburan hujan di kawasan empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam.
Katanya, operasi pembenihan awan sesuai dilaksanakan sekitar April ini ketika negeri ini memasuki musim peralihan monsun.
Tambah beliau, objektif utama pembenihan awan itu adalah bagi memastikan empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam dapat mencapai kapasiti efektif minumum 80 peratus menjelang Disember tahun ini.
”Tahun lalu, sebanyak 15 operasi pembenihan awan bernilai RM450,000 telah dijalankan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar hujan di kawasan berkenaan.
“Kita jangka pada tahun ini juga, jumlah operasi pembenihan awan yang sama diperlukan bagi memastikan kapasiti efektif empangan dapat mencapai 80 peratus,” katanya.
Sementara itu, katanya, pihaknya ingin menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah pada musim kemarau ini serta mengurangkan penggunaan air. – UTUSAN