Aktiviti pusat hiburan penyumbang tertinggi kes ingkar SOP

Aktiviti pusat hiburan penyumbang tertinggi kes ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik semula setelah jatuh dua hari berturutan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 442 individu dicekup semalam berbanding 205 individu ditahan kelmarin dan 246 individu diberkas Khamis lalu.

“Daripada jumlah itu, 430 dikompaun, 11 direman dan seorang dijamin dengan kes paling inggi ialah aktiviti pusat hiburan sebanyak 144,” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Ini diikuti kesalahan tidak patuh jarak fizikal (88), gagal sedia alat rekod butiran diri (80), tiada memakai pelitup muka (71), premis yang beroperasi lebih masa (lapan) dan kes-kes lain (15).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 63,822 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,292 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 14,492 anggota itu telah memantau sebanyak 6,217 restoran, 4,314 pasar raya, 3,923 bank, 2,578 penjaja, 1,709 kilang selain 866 pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan tersebut semalam kata beliau lagi ialah sejumlah 1,417 terminal pengangkutan darat, 527 terminal pengangkutan air dan 223 terminal pengangkutan udara.

Seramai 102 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan wabak Covid-19.

“Empat kenderaan darat dirampas selain sejumlah 114 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 447 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 94 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 32 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 540 anggota bomba selain 215 anggota pihak berkuasa tempatan dan 42 dari pelbagai agensi dengan penggunaan 95 jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,112 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,539 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 78 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 894 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 138,771 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 534 peruncit, 163 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,904 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 20 premis diberi nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya