PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik semula setelah jatuh sehari sebelumnya.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 369 individu diberkas berbanding 242 individu yang dicekup kelmarin dan 451 individu ditahan pada Selasa lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 330 dikompaun, 37 direman dan dua dijamin dengan kes tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan sebanyak 155 individu,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Ini diikuti gagal sedia alat rekod butiran (77), tiada pelitup muka (39), tidak patuh jarak fizikal (34), rentas kawasan tanpa izin (29), premis dibuka lebih masa (20) dan lain-lain lagi (15).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 66,685 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,676 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, seramai 15,632 anggota itu memantau sebanyak 6,206 restoran, 4,672 pasar raya, 4,278 penjaja, 2,613 bank, 2,316 kilang selain 1,023 buah pejabat kerajaan.
Juga 16,745 tempat riadah, 276 rumah ibadah, 141 pasar awam serta 3,432 terminal pengangkutan darat, 1,808 terminal pengangkutan air dan 1,046 terminal pengangkutan udara.
Seramai 35 pendatang asing tanpa izin juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung penularan wabak Covid-19.
“Lima kenderaan darat dirampas selain 86 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.
Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.
Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 77 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 26 zon merah, enam zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau.
Ia kata beliau, melibatkan penugasan seramai 279 anggota bomba selain 205 anggota pihak berkuasa tempatan dan turut dibantu dengan penggunaan sebanyak 51 buah jentera bomba.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 801 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 6,969 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 76 buah hotel serta 10 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.
Seramai 1,014 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 133,441 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 545 peruncit, 158 pemborong dan 31 pengilang.
Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 1,854 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya tujuh premis yang dikenakan kompaun. – UTUSAN ONLINE