Air tiada tapi bayar bil RM6 sebulan - Utusan Malaysia

Air tiada tapi bayar bil RM6 sebulan

MOHD. Zukri Nen (kanan) menunjukkan bil air yang terpaksa dibayar setiap bulan walaupun tidak mendapat bekalan air daripada SADA di Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sebanyak 84 keluarga di Kampung Tanjung Pari di sini mendakwa  terus  menerima bil air bulanan daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) walaupun tidak mendapat bekalan air melalui paip di rumah masing-masing sejak enam tahun lalu.

Penduduk mendakwa bil bulanan yang diterima sebanyak RM6 dan SADA diminta tidak menghentikan caj tersebut .

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Tanjung Pari, Mohd. Zukri Nen, 60, berkata, penduduk terpaksa membayar bil tersebut walaupun meter air di rumah tidak bergerak kerana tidak ada air.

Menurutnya, kakitangan SADA yang memeriksa  meter air rumah penduduk pada setiap bulan mendakwa meter air tersebut masih aktif dan bil RM6 setiap bulan perlu dibayar.

“Kalau meter ini aktif tentu bacaannya berubah tetapi perkara itu  tidak berlaku, malah mereka tetap perlu menjelaskan bil air itu pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 17 Mac lalu melaporkan masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman daerah ini dijangka selesai apabila projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di Sungai Limau, Kupang siap  pada 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu memaklumkan projek pembinaan loji air tersebut akan dimulakan  selepas urusan berkaitan tender selesai.

Mengulas lanjut, Mohd. Zukri berkata, penduduk  tidak mahu menanggalkan meter air di rumah mereka kerana tidak mahu mengeluarkan belanja lebih besar untuk memasang semula meter  tersebut selepas ini.

Sehubungan itu, tambahnya, SADA diminta tidak mengeluarkan bil RM6 sebulan sehingga bekalan air kembali pulih seperti biasa.

“Penduduk sedia membayar bil air tersebut sekiranya mereka menggunakan bekalan air yang disalurkan oleh SADA itu, namun air paip tersebut kering sejak lama,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Pari, Ghazali Din, 48, pula memberitahu, penduduk di kampung itu menggunakan air bukit yang disalurkan menerusi paip air masyarakat daripada lapan kolam yang dibina oleh penduduk untuk menampung keperluan harian mereka.

“Mereka menggunakan inisiatif sendiri dengan kutipan wang setiap keluarga dan gotong-royong membina kolam bagi menakung air di atas bukit untuk disalurkan ke rumah penduduk berdekatan,” katanya.

“Saya mohon  SADA dapat membina telaga tiup untuk menampung keperluan air penduduk di sekitar kampung ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN