Ahmad Zahid keluarkan RM9.3 juta, tiga minggu selepas PRU-14

Ahmad Zahid keluarkan RM9.3 juta, tiga minggu selepas PRU-14

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengeluaran terakhir sebanyak RM9.3 juta daripada akaun Yayasan Akalbudi miliknya, tiga minggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44, berkata, wang tersebut dipindahkan pada 28 Mei 2018 daripada akaun Affin Bank Berhad yayasan itu ke dalam akaun Yayasan Al-Falah milik adik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SSM) itu berkata, kuasa untuk memindahkan wang RM9.3 juta terletak di bawah kawalan Ahmad Zahid kerana Presiden UMNO itu merupakan penandatangan tunggal dalam Yayasan Akalbudi.

Menurut saksi pendakwaan ke-99 itu, hasil siasatannya mendapati tujuan pemindahan tersebut tidak jelas kerana tiada minit mesyuarat atau resolusi diperolehi daripada yayasan tersebut manakala kedua-dua yayasan itu tidak mempunyai apa-apa hubungan rasmi.

Khairudin berkata, siasatan penyata akaun Yayasan Akalbudi juga menunjukkan berlaku transaksi keluar masuk wang RM100 juta selama hampir enam tahun di antara 12 Disember 2012 dan 31 Mei 2018.

Saksi terakhir pendakwaan itu turut menyatakan, pemeriksaannya juga mendapati Tetuan Lewis & Co. bukan sahaja tiada hubungan dengan Yayasan Akalbudi malah tidak pernah dilantik sebagai pemegang amanah mahupun peguam yang mewakili yayasan itu.

Sebaliknya kata saksi, Yayasan Al-Falah merupakan anak guam kepada syarikat guaman tersebut yang turut mewakili Ahmad Zahid dalam kes-kes sivil.

Ahmad Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN