KUANTAN: Keputusan pimpinan tertinggi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) melantik Dr. Hamzah Jaafar bagi mengetuai parti berkenaan di negeri ini dikatakan mendapat tentangan ahlinya.
Ia berikutan banyak kawasan di negeri ini dipasang kain rentang yang meluahkan perasaan kecewa ekoran pelantikan bekas Pengerusi Amanah Pahang itu.
Difahamkan, selepas gagal mempertahankan jawatan Pengerusi Amanah Negeri pada 2019, Hamzah keluar parti itu dan menjadi ahli PKR selepas permohonannya diluluskan pada 23 Julai tahun lalu.
Menurut sumber, rata-rata ahli Pejuang di negeri ini tidak bersetuju dengan pelantikan Hamzah.
“Hamzah bukan individu yang berjuang bersama mereka sejak awal Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Mereka tidak pernah sekalipun bertemu atau bersama dalam perjuangan mereka sehinggalah Tun Mahathir menubuhkan Pejuang.
“Jadi, ahli Pejuang di Pahang menganggap kepimpinan Tertinggi Pejuang tidak pernah mengambil tahu berkenaan perjuangan mereka,” kata sumber itu.
Menurut sumber itu, ahli Pejuang Pahang berharap kepimpinan parti berkenaan khususnya Mahathir mempertimbangkan kembali keputusan tersebut.
“Disebabkan hal ini, kebanyakan mereka yang sebelum ini adalah penyokong kuat kepada Pejuang akan berehat dari perjuangan ini jika kepimpinan tertinggi kekal dengan keputusannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE