PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis ke-214 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga para veteran dan pesara polis.
Dalam satu kenyataan di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berterima kasih dengan pengorbanan organisasi tersebut yang juga tergolong dalam kalangan pekerja barisan hadapan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada warga PDRM di atas khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan anggota dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam terus terjamin.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan dan rasa bangga kepada seluruh warga PDRM di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 sejak dari tahun lepas,” titah baginda.
Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.
Dalam hantaran sama, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi Allah SWT dari segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan bersama para solihin. – UTUSAN ONLINE