8,274 KRT diwujudkan dalam tempoh 46 tahun - Utusan Malaysia

8,274 KRT diwujudkan dalam tempoh 46 tahun

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diwujudkan di seluruh negara dalam tempoh 46 tahun sejak diperkenalkan pada 1975 dengan jumlah keahlian kini mencecah 248,220 orang.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, jumlah tinggi itu adalah petunjuk dan bukti bahawa kesedaran dan penerimaan rakyat terhadap kepentingan peranan KRT.

Beliau berkata, peranan KRT terus diperkukuh dan dipertingkat menerusi inisiatif kementerian melancarkan Buku Panduan Pengurusan dan Pentadbiran Rukun Tetangga dalam usaha memantapkan kecekapan tadbir urusnya di seluruh negara.

“Buku ini akan dijadikan panduan dan rujukan oleh Rukun Tetangga dalam mengurus dan melaksanakan program dengan lebih tersusun dan sistematik.

“Selain itu, ia bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti berada pada tahap yang tinggi ke arah kesejahteraan komuniti,” katanya pada majlis RT4ALL: KRT Tonggak Perpaduan Komuniti di Facebook Kementerian Perpaduan Negara hari ini.

Beliau turut melancarkan logo bagi Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan lagu rasmi baharu KRT berjudul ‘KRT Sejahtera Bersama Komuniti’ yang digubah semula bagi memberi suntikan semangat kepada warga KRT dalam mendokong hasrat merealisasikan Agenda Perpaduan Nasional.

Halimah turut melancarkan rompi keselamatan SRS baharu yang akan diedarkan kepada 5,333 SRS di seluruh negara untuk digunakan semasa tugas rondaan di KRT masing-masing,

“Buat pertama kalinya, SRS mempunyai rompi keselamatan dengan logonya sendiri dan dengan imej baharu ini, ia diharap dapat memberikan wajah yang mudah dikenal orang ramai di samping menaikkan lagi semangat kesukarelawanan.

“Selain itu, pengenalan baharu ini diharap dapat menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda supaya melibatkan diri dengan aktiviti rukun tetangga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN