PUTRAJAYA: Seramai 7,277 calon mendaftar untuk menduduki Peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2020 bermula Isnin ini hingga 7 April depan.
Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan, ia melibatkan 236 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara.
Katanya, seramai 1,144 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.
“Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan STAM 2020 mengenai tarikh dan masa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari portal LP di http://lp.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan calon supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri, Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan dan Borang Deklarasi Saringan Covid-19 ke pusat peperiksaan.
Selain itu, katanya, semua calon juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0.
Ini bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan mencegah penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE