7 ditahan bungkus, rebus ketum - Utusan Malaysia

7 ditahan bungkus, rebus ketum

ZULKIFLEE Rashid menunjukkan peralatan untuk merebus daun ketum yang dirampas dalam Op Sarang di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh sahabat dicekup ketika membungkus dan merebus daun ketum di sebuah rumah kedai di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang di sini semalam.

Mereka yang berusia 25 hingga 40-an itu diberkas dalam serbuan pasukan pegawai dan anggota  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menerusi Op Sarang kira-kira pukul 4 pagi.

Ketua JSJN Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan, premis itu dipercayai tdijadikan tempat memproses daun ketum sejak dua bulan lalu. 

“Ketika serbuan, suspek leka membungkus 57 liter air ketum dan sebahagian lagi daun ketum seberat 20 kilogram sedang direbus. Kesemua air dan daun bernilai RM760 itu dirampas. 

“Kita juga menahan tujuh individu termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 25 tahun yang dipercayai dalang kegiatan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, polis percaya bekalan daun ketum itu dibawa dari utara menggunakan lori dan diseludup ke negeri ini. 

“Air ketum yang dibungkus dijual pada harga RM10 sebungkus bagi pasaran di sekitar Sungai Udang. Kesemua suspek ditahan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” ujarnya.

Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya  merampas pelbagai barang dapur termasuk periuk besar, dapur gas, tong gas dan penapis yang digunakan untuk memproses air ketum. 

Zulkiflee berkata, selain premis tersebut, Op Sarang turut dijalankan di kawasan lain sekitar Sungai Udang dan Tapak Pelupusan Sampah Krubong. 

Ujarnya, sepanjang 15 jam operasi bermula pada pukul 2 pagi itu, seramai 75 individu termasuk enam wanita berusia 16 sehingga 68 tahun dipercayai penagih ditahan. 

“Kita juga menahan dua remaja lelaki dan perempuan berusia 16 tahun yang bersekedudukan di sebuah rumah di Sungai Udang selepas menemui dadah jenis syabu dan heroin di premis. 

“Kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39 A (1), Seksyen 12 (3), Seksyen 6, Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya