LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran disyaki nelayan asing pada kedudukan 18.3 batu nautika barat Laut Pulau Jarak, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang melaksanakan Op Benteng mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4.05 petang.
“Bot dikendalikan empat kru termasuk tekong itu disyaki menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahrizan, pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kru adalah warga Indonesia yang berusia dalam lingkungan 29 tahun hingga 45 tahun dan terdapat kira-kira 10 kilogram ikan dalam bot itu.
Beliau berkata, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, tekong dan kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan, bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.
Menurutnya, penahanan itu membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara khususnya Perak masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN ONLINE