PUTRAJAYA: Seramai 3,224,641 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di aplikasi MySejahtera setakat pukul 3 petang tadi.
Jumlah terkini itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi Twitternya berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Berdasarkan data sama yang dikongsi itu, setakat semalam 127,608 individu telah diberikan suntikan vaksin dalam fasa pertama pelaksanaan kepada petugas barisan hadapan bermula 24 Februari lalu.
Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 18,034 individu, diikuti Pahang 13,830; Selangor 11,982; Kelantan 11,680; Kuala Lumpur 11,266; Perak 10,678 serta masing-masing 9,515 individu disuntik di Sabah dan Johor.
Turut direkodkan ialah Kedah 5,414; Pulau Pinang 5,172; Negeri Sembilan 4,864; Terengganu 4,675; Melaka 4,312 Perlis 2,223 Putrajaya 2,290 dan Labuan 2,158.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran melalui lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian atau secara manual untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my. – UTUSAN ONLINE