PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes sembuh melebihi 2,000 kes iaitu sebanyak 2,506 kes sembuh sekali gus mengatasi kes positif iaitu 1,683 kes.
Sebanyak tiga kematian direkodkan manakala kes aktif menunjukkan penurunan kes apabila mencatatkan 20,333 kes berbanding semalam, 21,159 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 174 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus merekodkan melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 746 kes diikuti Sarawak, 201 kes; Pulau Pinang, 172 kes; Johor, 158 kes dan Kuala Lumpur, 125 kes.
“Baki negeri hanya merekodkan kes dua angka manakala Labuan, lapan kes; Melaka, tiga kes dan Putrajaya, dua kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE