Sebanyak 2,330 warga emas terima vaksin fasa kedua

2,330 warga emas terima vaksin fasa kedua

RINA Harun (kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi PAWE Lekir, Zulkafli Zainal Abidin pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE Baharu Negeri Perak di Ipoh, Perak hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 2,330 orang warga emas di institusi kebajikan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menerima suntikan vaksin dalam fasa kedua, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, suntikan fasa kedua bermula April ini yang turut melibatkan pesakit penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) itu akan dilakukan secara berperingkat.

“Kementerian bekerjasama rapat bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan bagi menyelaraskan pemberian vaksin kepada warga emas khususnya yang berada di pusat jagaan atau aktiviti di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Susulan itu, kementerian telah bersetuju untuk melaksanakan fasa kedua ini bermula di institusi kebajikan warga emas dengan melibatkan 2,330 orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Perak 2021, di sini hari ini.

Pada program itu, Rina menyampaikan peruntukkan RM350,000 kepada tujuh PAWE di Perak dan RM100,000 bagi bantuan kewangan penubuhan PAWE baharu di Kuala Kangsar.

Menurut beliau, JKM sedang mengumpul data keahlian PAWE di seluruh negara untuk menyertai program imunisasi itu yang dianggarkan berjumlah 47,000 orang.

Katanya, kementerian juga akan meneruskan program advokasi dan penerangan bagi menggalakkan warga emas mendaftar diri sebagai penerima vaksinasi Covid-19.

“Kita sedar (ada warga emas takut), jadi kita beri advokasi dan kesedaran bahawa apa yang dilaksanakan ini adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

“Biasalah, bila ada sesuatu yang baru, kita akan rasa was-was tetapi sehingga sekarang sudah lebih 200,000 orang yang divaksin dan mereka berada dalam keadaan baik. Simptom kecil itu ada tetapi tidak  berlanjutan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama pemimpin masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diperlukan bagi membantu pendaftaran warga emas terutama di kawasan pedalaman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN