12 ahli Macau Scam lari sampai KL diberkas Polis Johor - Utusan Malaysia

12 ahli Macau Scam lari sampai KL diberkas Polis Johor

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar 12 ahli sindiket Macau Scam yang diberkas polis di ibu negara pada sidang akhbar di IPK Johor. -UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan 12 ahli sindiket Macau Scam yang melarikan diri hingga ke ibu negara bagi mengelak dikesan polis menjadi sia-sia apabila mereka diberkas di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 22 hingga 33 tahun itu diberkas antara pukul 4.30 petang hingga 6.10 petang dalam serbuan terbabit.

“Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tahun lalu dan bertindak menyamar sebagai pegawai Pos Laju bagi memperdayakan mangsa-mangsa mereka

“Berdasarkan siasatan, mereka dibayar gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 tidak termasuk komisen yang akan diperoleh bagi setiap transaksi yang berjaya dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah.

Terdahulu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah kedai di Kota Tinggi, dekat sini yang menjadi pusat operasi sindiket tersebut pada 2 Februari lalu, namun, tiada tangkapan dibuat. 

Ayob Khan berkata, polis telah merampas sebanyak 57 buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit komputer dan dua modem yang dipercayai digunakan sindiket untuk memperdayakan mangsa.

“Kesemua 12 suspek termasuk seorang wanita diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan atas talian,” katanya.

Menurut beliau, mereka kini ditahan reman selama 21 hari bermula 1 Mac bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959. 

Tambahnya, ini bukan kali pertama sindiket Macau Scam beroperasi di kawasan luar bandar bagi mengelak daripada dikesan pihak polis. 

“Malah, saya hairan masih ada yang tertipu dan menjadi mangsa kepada Macau Scam. Tak larat kita nak bagi nasihat, perkara yang sama berlaku dengan dua hingga tiga kes penipuan dilaporkan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, JSJK Johor pada tahun lalu menerima 421 laporan polis dengan jumlah kerugian lebih RM26 juta.

Manakala bagi tahun ini, ujar beliau, sebanyak 40 laporan polis diterima melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.48 juta bagi Januari dan bulan lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya