119 premis di Perak tiada sijil perakuan bomba - Utusan Malaysia

119 premis di Perak tiada sijil perakuan bomba

SYED AZMAN SYED GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 119 premis berstatus ‘premis ditetapkan’ di seluruh negeri ini termasuk 15 bangunan kerajaan beroperasi tanpa Sijil Perakuan Bomba (FC).

Perkara itu didedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang mana premis terlibat adalah termasuk hospital, pejabat pentadbiran, kilang, pusat beli-belah dan hotel.

Berdasarkan statistik, terdapat 389 bangunan dalam kategori premis ditetapkan di negeri ini perlu memiliki FC namun hanya 270 daripadanya memiliki sijil itu setakat ini.

Jumlah itu merangkumi 10 daripada 25 bangunan kerajaan dan 260 daripada 364 bangunan swasta.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak, Syed Azman Syed Ghazali berkata, notis dikeluarkan terhadap pemilik premis berkenaan untuk mereka memohon FC segera sebelum tindakan diambil di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Katanya, setakat ini, 12 buah premis swasta kini dalam proses pendakwaan setelah didapati mengabaikan notis amaran yang dikeluarkan tahun lalu.

“Kita membuat pemeriksaan di premis yang memohon FC di mana notis turut dikeluarkan dengan memaklumkan perkara-perkara tentang keselamatan kebakaran yang perlu mereka patuhi.

“Berdasarkan pemeriksaan, premis yang tidak memiliki FC ini adalah disebabkan belum layak kerana hanya patuh antara 70 ke 80 peratus dalam aspek keselamatan berkaitan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru hari ini.

Menurut Syed Azman, sikap tidak ambil berat pemilik premis mengenai FC bukan sahaja meletakkan bangunan dalam risiko besar malah membahayakan keselamatan penghuni.

Katanya, kejadian kebakaran di dalam premis sepatutnya mampu dikawal awal sekiranya sistem pencegah kebakaran berfungsi dan diselenggara dengan baik.

“Banyak faktor menyebabkan sesebuah premis tidak layak memiliki FC antaranya sistem keselamatan tidak diselenggara dengan baik selain bangunan lama yang tidak mempunyai sistem keselamatan dan perlu dinaik taraf.

“Sepatutnya, setiap premis perlu mempunyai sistem kebombaan yang berfungsi dengan baik termasuk pemercik atau ‘sprinkler’ di mana boleh memadam kebakaran di dalam bangunan secara automatik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JBPM Perak mengeluarkan 737 notis menghapuskan bahaya kebakaran menerusi pemeriksaan di 2,044 premis di seluruh negeri tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan premis kategori sederhana dan kecil seperti kedai, sekolah pondok, tahfiz, taska dan kilang.

“Pemeriksaan semula telah dilakukan di 415 premis selepas tempoh notis pertama berakhir dan daripada jumlah itu, kita telah membuka fail ke atas 22 premis untuk didakwa di mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN