1,018 polis Johor dikecualikan terima vaksin - Utusan Malaysia

1,018 polis Johor dikecualikan terima vaksin

AYOB Khan Mydin Pitchay menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesemua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor akan menerima suntikan vaksin imunisasi Covid-19, kecuali mereka diberikan pengecualian atas nasihat doktor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada keseluruhan lebih 10,000 pegawai dan anggotanya, seramai 1,018 akan dikecualikan.

Menurut beliau, pengecualian itu susulan mempunyai isu kesihatan seperti kehamilan, penyakit kronik, alahan dan sebagainya.

“Dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama ini, seramai 4,000 pegawai dan anggota akan diberikan vaksin, manakala lebih daripada 4,000 pegawai dan anggota yang lain akan diberikan dalam fasa kedua.

“Daripada keseluruhan pegawai dan anggota polis Johor, seramai 1,018 dikecualikan kerana ada isu kesihatan. Namun yang lain akan ambil vaksin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas menerima suntikan vaksin  menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menjadi penerima pertama di negeri ini yang mengambil vaksin Covid-19 diikuti Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

Sementara itu, Ayob Khan menasihati orang ramai untuk mengambil vaksin apabila tiba masanya bagi memastikan usaha mengekang pandemik Covid-19 berjaya.

“Alhamdulillah, jangan takut untuk mengambil vaksin ini, saya sudah mengambilnya sebentar tadi, Menteri Besar pun sudah ambil.

“Jadi saya seru semua masyarakat khususnya petugas barisan hadapan untuk ambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai komplikasi lain,” tambahnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN