Wahba ‘sasterawan wartawan’ wajar diiktiraf jasanya - Utusan Malaysia

Wahba ‘sasterawan wartawan’ wajar diiktiraf jasanya

ALLAHYARHAM Wan Hamzah Awang atau Wahba disemadikan di tanah perkuburan Bukit Legong, Kepong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Secara am, tidak ramai wartawan tempatan yang mampu berperanan sebagai sasterawan dan begitulah sebalik­nya kerana dianggap konon agak mustahil dan cukup sukar.

Namun tidak kepada penulis cerpen prolifik terkenal, Wan Hamzah Awang atau dikenali Wahba, yang me­ninggal dunia di Hospital Sela­yang hari ini dalam usia 72 tahun.

Demikian pandangan jujur bekas pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein ketika dihubungi Utusan Malaysia sambil meluahkan perasaan turut terkesan dengan pemergian arwah.

“Tidak banyak contoh ‘sasterawan wartawan’ seperti Datuk A Samad Ismail, Datuk Usman Awang, Dr. Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas dan Abdul Rahim Kajai sendiri,” katanya.

Secara kebetulan ujar beliau, Wahba boleh dianggap sebagai generasi terakhir ‘sasterawan wartawan’ yang dipelopori sya­rikat akhbar Utusan Melayu sejak sebelum negara merdeka.

“Bagi saya, Wahba menguasai dua bidang ini serentak. Seingat saya selepas beliau bersara, tiada lagi boleh digelar sasterawan wartawan di Utusan Melayu, ma­lah akhbar lain sekalipun.

“Dalam banyak karyanya, unsur kearifan, penelitian dan pemikiran wartawan dimanfaatkan. Saya melihat sastera Wahba tetap bawa sisi pemikiran sebagai wartawan,” kata Ku Seman.

Mengenali Wahba sebagai E­ditor Mastika sejak 1984, ujar­nya, sesuai genre semi akademik, Wahba telah mencorakkan majalah itu setaraf terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Turut sependapat ialah bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia, Zin Mahmud yang hairan tiada mana-mana pihak menghargai jasa besar Allahyarham da­lam bidang kesusasteraan.

“Institusi sastera nasional seperti DBP sewajarnya beri peng­iktirafan dan penghargaan atas sumbangan beliau terhadap sastera tanah air,” katanya sambil imbau kehebatan Wahba.

Zin turut mengagumi allahyarham yang bijak memilih dan menyunting cerpen, sajak dan rencana sastera untuk terbitan Mingguan Malaysia selain majalah Wanita, URTV dan Mastika.

Wahba kembali ke Rahmatullah pukul 4.30 pagi akibat sakit tua selain menghidap penyakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu sebelum dalam keada­an koma pada Khamis lalu.

Jenazah kemudian disolatkan di Masjid Al-Faizin di Taman Desa Jaya, Kepong sebelum di­semadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Eh­san pukul 11.45 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya