UMNO masih relevan di Sabah - Bung Moktar - Utusan Malaysia

UMNO masih relevan di Sabah – Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya UMNO tidak relevan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Menegaskan perkara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu sehingga kini masih kukuh dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Malah, katanya, banyak perubahan berlaku selepas 30 tahun UMNO mengembangkan sayapnya di negeri tersebut.

“UMNO Sabah pernah melalui pelbagai krisis, dugaan, cabaran dan rintangan. Lebih menyedihkan apabila 22 pemimpinnya termasuk ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan pergerakan wanita serta pemuda keluar parti beramai-ramai pada 2018.

“Ketika itu, UMNO Sabah dianggap sudah tidak wujud dan saya diberi amanah oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin parti itu di Sabah,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-30.

UMNO secara rasmi melebarkan sayap ke Sabah pada 21 Februari 1991 menerusi pembubaran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dengan bekas pemimpin dan ahli USNO secara automatik menjadi ahli UMNO.

Kemasukan UMNO ke Sabah pada waktu itu bertujuan mengukuhkan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam usaha untuk merampas semula kerajaan negeri yang ketika itu di bawah pembangkang pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS).

BUNG MOKTAR RADIN

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, situasi ketika awal kemasukan UMNO jauh berbeza berbanding ketika beliau mengambil alih kepemimpinan UMNO Sabah pada akhir 2018.

“Ketika awal kemasukan UMNO ke Sabah, ia dilihat sebagai harapan baharu menyatukan rakyat Sabah bagi mewujudkan kestabilan politik di negeri ini dan membuka jalan untuk pembangunan dalam semua aspek.

“Keadaan ini berubah selepas kekalahan BN di tangan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disokong beberapa pemimpin BN untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14 .

“UMNO Sabah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin UMNO di Semenanjung menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sindrom itu menular ke Sabah,” katanya.

Namun dalam masa yang sama, Bung Moktar turut menjelaskan yang beliau terus berusaha meyakinkan akar umbi UMNO di Sabah bahawa parti itu mampu bangkit semula dengan sokongan ahli dan pemimpin yang masih setia.

“Walaupun UMNO hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi pada PRN itu, ia adalah petunjuk positif bahawa UMNO BN masih diterima oleh rakyat Sabah dan menyumbang kepada kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yakin sokongan rakyat akar umbi terhadap UMNO Sabah terus bertambah selepas ini dan beliau memberi jaminan parti itu terus kekal dengan perjuangan berpaksikan kepentingan rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya