JOHOR BAHRU: UMNO belum memutuskan tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang sedang dirancang untuk diadakan secara maya setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan menetapkan bila perhimpunan agung tersebut diadakan.
Dalam kiriman ringkas WhatsApp kepada Utusan Malaysia, Ahmad berkata, tarikh mesyuarat tersebut juga diputuskan dalam waktu terdekat untuk membincangkan mengenai PAU yang sepatutnya diadakan pada 30 dan 31 Januari lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Terdahulu, dalam ciapan di Twitter miliknya, Ahmad menjelaskan PAU diteruskan secara maya jika PKP dan darurat masih ada.
“Kaedahnya akan diberitahu. UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia walau sebesar mana pun cabaran, perjuangan tetap kita teruskan,” katanya dalam Twitter @ahmadmaslan.
PAU menjadi perhatian ramai terutama pemerhati politik selepas perwakilan bahagian sebelum ini menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
UMNO juga sebelum ini berpendirian untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina sepanjang 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang. – UTUSAN ONLINE