JELEBU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yakin dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan kondusif menerusi pembinaan kedai koperasi yang bakal dibangunkan UDA Holdings Berhad (UDA).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek pembinaan kedai koperasi yang bakal dikenali sebagai UDA Niaga itu dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan dan menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi setempat.
“UDA dilantik sebagai ‘turnkey developer’ bagi membangunkan projek di atas tanah milik Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu Berhad di Kuala Klawang di sini.
“Projek empat lot rumah kedai dua tingkat ini dibina di atas tanah berkeluasan 0.17 ekar milik koperasi terbabit,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kedai Dua Tingkat Di Atas Tanah Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu, di sini hari ini.
Beliau berkata, anggaran kos pembangunan kasar (GDC) projek tersebut adalah sebanyak RM1.7 juta dengan menggunakan geran disediakan kerajaan bagi mengurus serta membangunkan projek yang kemudian diserahkan kepada pemilik tanah setelah siap dibina.
“Projek koperasi UDA Niaga ini dijangka berpotensi dijadikan sebagai pusat sehenti untuk agensi-agensi di bawah kementerian seterusnya memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berkaitan insentif serta program keusahawanan disediakan.
“UDA Niaga yang berdekatan dengan sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan terletak di tengah-tengah bandar Kuala Klawang ini akan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membangunkan UDA Niaga di seluruh negara antaranya di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“UDA sebelum ini telah membangunkan 168 unit kedai seperti UDA Niaga (dahulunya dikenali sebagai Kedai Desa) di 16 tapak di seluruh negara dengan dana pembangunan yang diberikan kerajaan.
“Projek UDA Niaga ini lebih tertumpu pada pembangunan lot kedai di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan dan penduduk setempat akan menerima manfaat daripada pembangunan tersebut,” katanya.
Jelas Jalaluddin, UDA Niaga yang siap dibina kemudiannya diserahkan kepada PBT selaku pemilik tanah untuk pengisian peniaga atau usahawan tempatan.
“Pelaksanaan projek ini dapat mendukung hasrat kerajaan dalam meningkatkan pembabitan masyarakat khususnya golongan bumiputera dalam sektor perniagaan.
“Selain itu, projek UDA Niaga turut membuka peluang kepada kontraktor dan perunding tempatan mendapat kerja-kerja pembinaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE