Uar-uarkan kisah kejayaan pelajar bumiputera di pentas dunia

Uar-uarkan kisah kejayaan pelajar bumiputera di pentas dunia  – Mohd. Nizar

MOHD. NIZAR SUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin mahu lebih banyak kisah kejayaan pelajar Melayu dan bumiputera yang mengharumkan Malaysia di mata dunia diuar-uarkan agar mencetuskan inspirasi kepada pelajar terutama  yang datang daripada sekolah yang bukan berprofil tinggi.

Beliau menarik perhatian perkara itu  dalam sembang santai dengan dua pelajar terbaik dunia,  Fatin Najwa Azman, 22, dan Putera Aiman Abdul Rasyid, 19, masing-masing dalam  peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan  Certified Accounting Technician (CAT).

“Success story (kisah kejayaan) mereka berdua ini yang bukan datang dari sekolah berprofil tinggi (di Malaysia) tetapi dari sekolah biasa perlu diuar-uarkan kepada pelajar sebagai bukti dengan semangat juang tinggi mampu mencetuskan kejayaan sehingga lulus cemerlang, tidak kira kita berada di tempat mana.

“Walaupun datang daripada latar belakang keluarga yang biasa, tetapi mereka berjaya mencetuskan kejayaan yang sungguh luar biasa di peringkat dunia,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Fatin Najwa menyanjung tinggi komitmen para pensyarah bidang perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang  mencetuskan semangat kepadanya sehingga muncul sebagai  pelajar terbaik dunia dalam salah satu peperiksaan ACCA.

“Kepada saya, pensyarah-pensyarah  di UiTM yang memberikan inspirasi kepada saya. Cara mereka mengajar dan cara mereka menyampaikan ilmu membuatkan saya terharu.

“Mereka bekerja keras, tepati masa dan amat terperinci dalam proses pembelajaran untuk mendidik anak bangsa. Saya ingin menjadi seperti mereka,” kata Fatin Najwa dalam sesi secara langsung di laman Facebook YPM..

Putera Aiman pula menjadikan  ibu bapa sebagai inspirasi kejayaannya.

“Ibu bapa saya banyak memberi inspirasi kepada saya. Mereka telah banyak mengorbankan masa, tenaga dan juga wang ringgit untuk membesarkan saya sehingga saya dapat mencapai kejayaan ini.

“Saya hendak bekerja keras untuk ibu bapa saya dan mencontohi setiap jejak langkah mereka yang baik. Mudah-mudahan saya boleh progres lebih jauh dalam hidup saya,” kata Putera Aiman.

Mereka berdua melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan ACCA dan CAT pada Disember tahun lepas.

Mohd. Nizar turut serta dalam sesi tersebut yang turut disertai  Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof. Dr. Haslinda Yusoff.

Haslinda sempat menitipkan mengenai keperluan yang perlu dipenuhi pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berimpian untuk menyambung pelajaran dengan mengambil peperiksaan profesional bidang perakaunan itu.

“Dari segi syarat, untuk masuk ke program CAT UITM, mereka mesti memperoleh gred A untuk matematik ataupun matematik tambahan dan sekurang-kurangnya gred B dalam bahasa Inggeris kerana ia merupakan persediaan untuk menduduki kertas-kertas peperiksaan yang menggunakan medium bahasa Inggeris serta mana-mana tiga subjek yang lain juga harus peroleh gred A.

“Untuk dipilih, mereka semua harus lulus ujian kebolehan serta temuduga. Itu adalah satu proses untuk kami membuat pemilihan pelajar yang betul-betul bersedia untuk mengambil sijil peringkat profesional dan apa yang paling penting adalah kemahiran Matematik dan bahasa Inggeris,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN