Tubuh pusat khas pulih kumpulan gengster - RAPAT Prihatin Malaysia

Tubuh pusat khas pulih kumpulan gengster 

A. RAJARETINAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk menubuhkan pusat khas bagi memulihkan individu yang terlibat dalam kegiatan gengsterisme sama seperti fungsi pusat pemulihan dadah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Penubuhan pusat khas berkenaan termasuklah menempatkan kumpulan gengster India yang masih kekal dengan rekod tertinggi tangkapan jenayah gengster dengan pelaksanaan pemulihan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan sehingga satu tahun.

Pengerusi RAPAT Prihatin Malaysia, Rajaretinam Armuggan berkata, selepas sahaja kumpulan tersebut menghabiskan tempoh pemulihan, mereka boleh dihantar untuk memasuki sektor-sektor pekerjaan di negara ini dengan pemantauan pihak berkuasa selama dua tahun. 

“Saya melihat kenapa kaum India lebih ramai terlibat dalam kegiatan ini kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan. Apabila ada langkah seperti ini, saya yakin kumpulan gengster tidak akan kembali semula kepada ‘pekerjaan’ lama mereka. 

“Kerajaan sedar negara sedang berkembang, orang ramai berhijrah daripada kampung ke bandar sepatutnya perlu ada tindakan strategik namun disebabkan tiada sistem yang teratur, penjagaan yang baik, tiada komunikasi bagi membantu mereka, inilah yang berlaku sekarang. Mereka (India) terbiar dan tercicir. 

“Untuk memenjarakan mereka tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka sepatutnya memerlukan bimbingan dan kesedaran melalui pendidikan sivik, kewargangeraan, pekerjaan, undang-undang, Rukun Negara dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam. 

Akhbar ini melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesan 72 geng samseng aktif di negara ini malah jika dibiarkan tidak mustahil akan mengundang negara ini menjadi ‘Chicago 1930-an’ yang melumpuhkan kedaulatan undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan jumlah tangkapan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), kaum India kekal lima tahun berturut sebagai kes jenayah gengster paling tinggi (342) sejak 2016 sehingga 2020 diikuti Cina (97) dan Melayu (30). 

Tidak menafikan bahawa kerajaan sudah berusaha ke arah itu, Rajaretinam mendakwa ramai masyarakat India yang masih belum terbela dalam aspek pendidikan dan pekerjaan yang akhirnya memilih untuk menyertai persatuan gelap yang menawarkan kadar upah lebih tinggi. 

Justeru, beliau mencadangkan agar kumpulan gengster berkenaan mengisi kekosongan dalam sektor tenaga kerja buruh menggantikan tenaga buruh asing dari Bangladesh dan Nepal. 

“Kita tidak perlu lagi mengimport tenaga buruh asing. Kita beri peluang kepada orang tempatan (kumpulan gengster), anak muda yang tercicir pelajaran dan menganggur,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya