Tommy  langgar sumpah jawatan -Zahid Hamidi  - Utusan Malaysia

Tommy  langgar sumpah jawatan -Zahid Hamidi 

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak tidak terpengaruh dengan kenyataan Tommy Thomas.

 Menurut beliau, kenyataan bekas Peguam Negara itu di dalam buku “My Story: Justice in The Wilderness” melanggar sumpah jawatan sebagai Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan.

 Menurut Zahid, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku meskipun Tommy tidak lagi menyandang jawatan itu.

 “Adalah menjadi teras utama mana-mana jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperolehi oleh mana-mana pegawai adalah diklasifikasikan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia” atau “Sulit” tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan “pelaris” kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta-fakta.  

 “Kenyataan tersebut juga tidak seharusnya diambil kira sebagai fakta sejarah atas sebab tohmahan yang mengaitkan Tun Abdul Razak dengan peristiwa 13 Mei tersebut ternyata hanya pendapat peribadi beliau dan bertujuan untuk merendahkan kredibiliti Tun Abdul Razak yang juga bekas Presiden UMNO,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

 Kata beliau, kenyataan Tommy berhubung peristiwa 13 Mei di dalam buku tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga sensitiviti peristiwa tersebut dalam kalangan masyarakat.

 “Di dalam buku tersebut, Tommy bukan sahaja memperlekehkan Timbalan-Timbalan Pendakwaraya malah keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang beliau sendiri terajui sebagai Peguam Negara.

 “Ini boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara,” ujarnya lagi.

 Mengulas lanjut, Zahid berkata, fakta yang ditulis Tommy tidak tepat dan menyemai rasa benci terhadap UMNO-BN, individu-individu yang dinamakan, pemimpin politik dan jabatan yang pernah diterajuinya dengan tujuan memesong kepercayaan rakyat terhadap organisasi kerajaan secara keseluruhannya.

 “Memoir tersebut juga menyentuh berkenaan keputusan yang dibuat olehnya ketika menjadi Peguam Negara, antaranya termasuklah kes LTTE dan kes Adib. Keputusannya dalam kes LTTE, hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa LTTE sudah tidak aktif dari tahun 2009. LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun Keseksaan.

 “Selain itu, keputusan Tommy untuk tidak menuduh sesiapa di dalam kes Adib juga telah didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib telah disebabkan oleh dua orang atau lebih,” jelasnya.

 Berikutan itu, tegas Zahid, tindakan Tommy tersebut dilihat lebih kepada seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya