PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap portal berita Malaysiakini bukan sahaja mendapat perhatian di luar negara, tetapi juga mendapat perhatian beberapa tokoh negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan jika demokrasi diamalkan di Malaysia, bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.
Katanya, media bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat, sebaliknya ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara.
“Ia instrumen penting bagi membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru. Justeru, kebebasan akhbar dan bersuara ‘serves a high public purpose’. Malaysia mesti menuju ke arah masyarakat madani yang bebas bersuara secara matang, progresif dan jujur.
“Hanya dengan akhbar yang bebas dan bertanggungjawab, ketelusan dalam ekonomi dan pasaran akan berlaku, kerajaan akan menjadi lebih ‘accountable’. Segala salah guna kuasa dan kejelikan moral akan terbongkar dan inspirasi tercetus melalui cerita kemanusiaan yang mengkagumkan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, wartawan veteran A. Kadir Jasin menganggap keputusan mahkamah itu secara tersirat memberi amaran keras kepada saluran berita, khususnya atas talian, bahawa mereka bertanggungjawab terhadap komen pembaca.
“Ini tentunya menimbulkan kerumitan kerana, bergantung kepada aplikasi yang mereka guna, komen pembaca tersiar secara automatik tanpa pengarang mempunyai hak untuk menapisnya.
“Misalnya, bahan-bahan yang disiarkan melalui aplikasi Facebook, komen pembaca akan tersiar secara terus tanpa pengarang boleh mencelah. Pengarang dan pentadbir hanya boleh menyekat selepas komen tersiar. Selepas itu pembaca tidak lagi mempunyai akses kepada komen yang sudah disekat itu. Adakah penghakiman “deterrent” terhadap Malaysiakini itu akan memberi kesan kepada pengguna perseorangan media sosial?,” soalnya.
HABIS