PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan beberapa empangan di Perak, Kelantan dan Terengganu telah melepaskan air dalam keadaan terkawal.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, ia termasuk Empangan Chenderoh di Perak dengan pelepasan air dari empangan tersebut dilakukan pada kadar terkawal bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air yang masuk dan keluar.
“Pelepasan air terkawal di stesen hidroelektrik TNB itu perlu dilakukan kerana kenaikan paras berikutan hujan berterusan di kawasan tadahan yang luas.
“Sehingga hari ini, tiga empangan yang telah melepaskan air secara terkawal adalah Stesenstesen Janaelektrik Sungai Perak (Empangan Bersia, Kenering, Chenderoh) mengikut prosedur sediada bagi memastikan paras selamat dapat dikekalkan disamping mengawal jumlah pelepasan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Nor Azman turut memaklumkan bahawa terdapat limpahan secara semulajadi di Empangan Kenyir ke Sungai Terengganu, namun jumlah limpahan tersebut masih berada di bawah paras kapasiti sungai.
“Air di Empangan Pergau (Kelantan) dan Temenggor di Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak pula masih di bawah paras pelepasan air,” katanya.
Justeru, Nor Azman memberi jaminan bahawa empangan hidroelektrik TNB mampu mengawal aliran air yang banyak meskipun menghadapi hujan lebat berterusan.
“TNB juga memberi jaminan bahawa kesemua empangan-empangan terbabit berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.
Katanya lagi, kerjasama erat antara TNB dan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan telah memastikan proses pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan hidroelektrik dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).
TNB telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik dan pejabat operasinya bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi.
Sebarang maklumat lanjut mengenai pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi TNB CareLine di 15454.
Kapsyen gambar: Empangan Bersia adalah salah satu daripada empangan Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak yang telah melepaskan air secara terkawal, mengikut prosedur sedia ada bagi mengekalkan paras air empangan yang selamat. – UTUSAN ONLINE