PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menyifatkan kenyataan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini bukan sahaja tidak menguntungkan UMNO tetapi melemahkan semangat setiakawan serta mengelirukan parti.
Beliau tidak boleh menerima pendirian Annuar yang kononnya tidak akan mengalah dengan perjuangannya bahawa UMNO perlu bekerjasama dengan semua parti Melayu, sekali pun beliau dipecat dari UMNO.
“Pertama, tidak wujud sebarang khabar atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat beliau. Jadi, mengapa mahu sengaja dibangkitkan tanggapan serta sentimen ‘victim’ seperti ini. Ia hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahu pun dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Khaled juga menganggap tindakan Annuar mengkritik parti secara terbuka tidak akan memberikan UMNO sebarang kelebihan.
“Adalah tidak sihat untuk beliau terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti sekarang. Ia tidak menguntungkan UMNO. Ia melemahkan setiakawan dan secara sistematik, mengelirukan parti.
“Sebagai seorang ahli lama, beliau mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikal beliau. Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti dan masyarakat luar yang sedang memerhati UMNO secara rapat,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Annuar bahawa hanya bekerjasama dengan semua parti Melayu maka UMNO akan menjadi kuat.
“UMNO sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan Barisan Nasional (BN). Pada masa yang sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional. Segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersandarkan mandat dan pilihan rakyat.
“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, UMNO akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak UMNO dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat.
“Sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan. Ada yang sampai diheret ke mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan dari jawatan.
“Kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama UMNO dan PN tidak strategik. Apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak UMNO dengan sebegitu rupa,” katanya.
Khaled juga mengakui UMNO tetap memerlukan sokongan bukan Melayu.
“Sekali pun UMNO sendiri sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya UMNO sangat sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting. Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini.
“Atas dasar ini, UMNO yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN,” katanya.
Mohamed Khaled juga memberi bayangan bahawa Annuar boleh menyertai parti lain jika UMNO sudah tidak sesuai dengan perjuangan peribadinya.
“Seandainya UMNO ini sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi Tan Sri Anuar Musa, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan UMNO ini.
“Ia hanya mengelirukan orang ramai. Tambahan pula parti ini sedang diperkasakan. Ini usaha yang kritikal dan besar. Jadi, UMNO memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya,” katanya.
Khalid menganggap, sebagai seorang ahli parti, Annuar tidak sepatutnya membiarkan UMNO diserang-serang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan UMNO.
“Parti ini lebih besar dari perjuangan dan kepercayaan seorang individu. UMNO adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE