SEPANG: Tiga warga Indonesia mengaku tidak bersalah memiliki serta mengilang gas cecair petroleum bersubsidi (LPG) tanpa lesen dan mohon dibicarakan.
Ketiga-tiga tertuduh itu, Muhamad Rohadi; Dedi Chandra dan Supardi membuat pengakuan tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Mhkamah Sesyen 1, Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga warga Indonesia terbabit didapati mengilang barang berjadual tanpa lesen iaitu 2,349 kilogram (kg) gas petroleum cecair (berat kasar).
Perbuatan itu telah dilakukan di sebuah premis tanpa nama beralamat di Lot 16407/16408, Jalan Perusahaan Meranti 5, Kampung Sungai Rasau, Puchong kira-kira pukul 7 malam pada 16 Februari lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 21(1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, seorang warga Bangladesh dan dua warga Myanmar dituduh mengilang LPG tanpa lesen sebanyak 2,046 kg dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah di premis tanpa nama di No 31, Jalan SIP 1, Sepang Industrial, Sepang pada pukul 10.30 malam, 19 Februari lalu.
Pendakwaan secara berasingan ke atas warga Bangladesh, Md. Sohel dan warga Myanmar, Aung Min Thu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dibuat di hadapan Tengku Shahrizan.
Seorang lagi tertuduh warga Myanmar, Sein Lin Maung dituduh di hadapan Hakim Noorhisham Mohd. Jaafar di Mahkamah Sesyen Jenayah 2.
Bagaimanapun, kertas pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh tidak dibacakan kerana pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan bersama jurubahasa Bangladesh dan Myanmar selain menunggu keputusan laporan kimia.
Ketiga-tiga mereka turut didakwa mengikut akta yang sama dengan pertuduhan yang dikenakan kepada warga Indonesia terbabit.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Haniff Md. Alimuddin dan Timbalan Pendakwa Raya Jesuthasen Nair manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dan kesemua tertuduh ditahan sementara di Penjara Sungai Buloh.
Tengku Shahrizan kemudian menetapkan 23 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE