LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan tiga bot yang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kawasan pesisiran pantai dekat Sungai Burung, Bagan Datuk, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketiga-tiga bot itu dikesan di kedudukan 3.3 batu nautika hingga 4.2 batu nautika barat laut Sungai Burung yang dikategorikan sebagai Zon A perikanan pada pukul 12.10 tengah malam.
“Bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan Op Pintas mengesan tiga bot mencurigakan pada waktu berkenaan di sekitar perairan Sungai Burung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, pemeriksaan mendapati ketiga–tiga bot tersebut adalah Kelas B iaitu untuk perikanan laut dalam yang dikendalikan dua kru bagi setiap bot dan disyaki menggunakan pukat tunda di kawasan terlarang Zon A serta tidak mematuhi syarat sah lesen.
Katanya, kesemua enam kru warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 27 tahun hingga 40 tahun itu, diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Sitiawan, dekat sini bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (B) iaitu melanggar syarat sah lesen. – UTUSAN