SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau panggilan popular Sajat atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.
Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan susulan Muhammad Sajjad gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes tersebut hari ini.
Mewakili Muhammad Sajjad, Peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman berkata, prosiding tersebut ditangguhkan kerana anak guamnya tidak tampil ke mahkamah.
“Saya tidak nampak anak guam dan menunggu kehadirannya. Oleh sebab tidak hadir, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 Jun hadapan.
“Pada tarikh tersebut, anak guam saya diwajibkan datang ke mahkamah,” katanya ketika ditemui di luar bangunan mahkamah.
Ditanya membuat proses mitigasi, Zuri Zabuddin menjelaskan, pihaknya memaklumkan mungkin akan melakukannya tetapi belum berbincang berhubung perkara tersebut.
Selain Zuri Zabuddin, usahawan kosmetik itu turut diwakili Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.
Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohd. Zain.
Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Muhammad Sajjad, 36, didakwa atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat kira-kira pukul 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selepas pengakuan direkodkan, Muhammad Sajjad dibebaskan dengan jaminan RM3,000. – UTUSAN