Tahun Baharu Cina: Tiada kesesakan trafik di lebuh raya

Tahun Baharu Cina: Tiada kesesakan trafik di lebuh raya

ZAINUDDIN Ahmad (kanan) mendengar penerangan daripada Sulizmie Affendy Sulaiman mengenai pelan operasi SJR ketika mengadakan lawatan SJR di Stesen Bas Tanjung Malim, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Tiada kesesakan trafik berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan dari Lembah Klang menuju arah utara menjelang Tahun Baharu Cina esok.

Timbalan Pengarah 1, Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ini menunjukkan masyarakat Cina tidak balik kampung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas negeri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan kes Covid-19 yang masih tinggi.

Beliau berkata, mereka yang tinggal di Lembah Klang mungkin bimbang akan membawa jangkitan penyakit kepada orang tua atau saudara mara mereka jika balik kampung.

“Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur (ke Tanjung Malim) pagi ini, volum kenderaan rendah di lebuh raya, ramai yang tak balik kampung.

“Masyarakat Cina faham keperluan tidak merentas negeri, mungkin mereka pun risau juga nak melawat saudara mara di kampung sebab kes Covid-19 dan PKP masih dikuat kuasa, 

“Apatah lagi mereka dari Selangor yang merupakan zon merah kes Covid-19, jadi mereka tak mahu ibu bapa mereka yang sudah tua dijangkiti, jadi itu salah satu sebab mereka tidak balik kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program Jeneral Turun Padang dengan melawat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Stesen Bas Tanjung Malim, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman.

Mengenai penyeludupan dan pengedaran dadah semasa pelaksanaan PKP, Zainudin berkata, kegiatan itu tetap berlaku dengan menggunakan pelbagai taktik.

Menurutnya, pada fasa pertama pelaksanaan PKP, penyeludup menggunakan taktik pengedaran menggunakan motosikal dan kereta namun pada fasa kedua PKP beralih ke taktik baru iaitu menggunakan kenderaan besar.

“Kenderaan besar seperti lori atau kereta yang digunakan untuk menyeludup dadah ini mempunyai kompartmen khas untuk mengelak dikesan semasa pemeriksaan di SJR. 

“Untuk itu kita akan memperketat pemeriksaan di SJR malah ada negeri yang menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu mengesan dadah khususnya di SJR yang mencatat aliran kenderaan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN