Tabung Musa’adah Covid-19 terus bantu masyarakat rentan

Tabung Musa’adah Covid-19 terus bantu masyarakat rentan

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (kanan) melakukan Flag Off pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Kelantan di pekarangan Kompleks Islam JAKIM, Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tabung Musa’adah Covid-19 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus membantu masyarakat rentan di seluruh negara.

Kali ini, enam pihak lagi menerima sumbangan program tersebut yang diserahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Ia merupakan Siri 3 melibatkan dua agensi ini dan kali ini ke Pasir Mas, Kelantan, dengan bantuan berjumlah RM60,000,” katanya berucap merasmikan penyampaian itu di sini hari ini.

Turut hadir pada acara di Kompleks Islam Putrajaya itu ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin.

Program Siri 1 dan Siri 2 masing-masing melibatkan bantuan pasca bencana untuk mangsa banjir di Johor, Terengganu dan Pahang dengan keseluruhannya berjumlah RM200,000.

“Bantuan berupa barangan harian seperti dapur gas, tilam toto, bantal, keperluan wanita dan kanak-kanak dan pek makanan kering untuk 200 ketua isi rumah di Pasir Mas,” kata Zulkifli.

Turut memberi sumbangan kepada konvoi misi bantuan tersebut ialah Masjid Negara Kuala Lumpur sebanyak RM10,000 yang diserahkan oleh Imam Besarnya, Ehsan Mohd. Hosni.

Juga, Ajinomoto (Malaysia) Berhad berupa pek barang makanan kering bernilai RM4,250 dan sumbangan berjumlah RM5,000 oleh Ketua Pengarah Pentadbirannya, Kamarudin Rasid.

Tidak ketinggalan, Takaful Malaysia Keluarga Berhad sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pelbagai sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan rumah orang bukan Islam yang terpilih.

“Kami juga menyampaikan bantuan tabung ini kepada Persatuan Kebajikan Warga Islam Hospital Putrajaya untuk petugas barisan hadapan yang berjumlah RM10,000,” tambah Zulkifli.

Bantuan juga diberikan kepada 200 guru KAFA di Kelantan yang terkesan akibat Covid-19 dan setiap seorangnya menerima RM300 dengan jumlah keseluruhan disediakan RM60,000.

Sumbangan pasca banjir turut diserahkan kepada pelbagai kampung Orang Asli yang terkesan musibah itu baru-baru ini di Pahang, Kelantan, Perak dan Johor berjumlah RM129,700.

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan bebanan penerimanya dan mendoakan mereka yang sedang diuji oleh Allah dapat bersabar serta semoga hidup sentiasa diberkati.

Zulkifli turut menyeru para dermawan agar dapat menghulurkan sumbangan ke Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim-YWM sejajar slogannya ‘Anda Sumbang, Kami Tolong Sampaikan.

Derma untuk tabung berkenaan ujar beliau, boleh dimasukkan terus ke dalam akaun YWM dengan nombor 86-0221818-6 CIMB Islamic Bank Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya