BUTTERWORTH: Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penyaduran logam di Perai dekat sini didenda RM40,000 kerana didapati bersalah melepaskan air buangan secara terus ke ke longkang awam tanpa melalui sistem rawatan sisa.
Keputusan itu dibuat Hakim Noor Aini Yusof selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen 2 di sini semalam.
Mengikut pertuduhan, premis itu didakwa melepaskan efluen perindustrian yang mengandungi parameter warna, keperluan oksigen kimia (COD), besi, mangan, nikel, zink, minyak dan gris melebihi standard di bawah Jadual kelima Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 secara pintasan terus (by pass) ke longkang awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 10 pagi, 14 Jun 2019. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 25(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Terdahulu, pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam kerana terdapat tujuh parameter yang gagal dipatuhi dan pintasan (by pass) efluen (air buangan) secara terus ke longkang yang disengajakan.
Dalam pada itu, Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam melaporkan aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN