JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat mengalami kerugian sebanyak RM741,254 akibat ditipu individu yang menyamar sebagai pembekal kepada syarikat berkenaan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, pihaknya menerima satu laporan penipuan melalui Business Email Compromise (BEC) oleh wakil syarikat yang terlibat.
Katanya, wakil syarikat itu memaklumkan menerima emel kononnya daripada pihak pembekal meminta membuat pembayaran ke akaun bank lain kerana terdapat masalah pada akaun bank milik syarikat pembekal.
“Setelah pembayaran dibuat, pembekal memaklumkan tidak menerima pembayaran tersebut dan menafikan menghantar emel terbabit serta tidak pernah menukar akaun bank lain.
“Polis menasihatkan orang ramai khususnya staf syarikat yang menguruskan kewangan supaya berhati-hati apabila berurusan menggunakan emel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Salleh turut menasihatkan agar orang ramai membuat semakan dengan menghubungi melalui panggilan telefon terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran.
“Semak juga akaun penerimaan bayaran adakah pihak penerima yang sebenarnya. Jangan klik kepada emel atau mesej yang mencurigakan kerana dikhuatiri mengandungi Malware.
“Orang ramai juga boleh menyemak akaun bank yang mencurigakan melalui laman web atau aplikasi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat pembayaran jika terlibat dengan mana-mana kes penipuan lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Habis/