Suspek bunuh 'Adik' berdepan hukuman mati mandatori - Utusan Malaysia

Suspek bunuh ‘Adik’ berdepan hukuman mati mandatori

IBU kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya bulan lalu didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di Melaka, hari ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, dekat sini bulan lalu berdepan dengan hukuman mati mandatori selepas didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, sebaik sehaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki, Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun.

Tindakan itu dilakukan tertuduh pada pukul 3.32 petang di sebuah rumah di Jalan KJ 19, Taman Krubong Jaya pada 29 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh turut didakwa atas kesalahan mendedahkan mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya, diabai atau didedahkan sedemikian.

Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh antara pukul 10.30 malam pada 13 Oktober 2020 sehingga 3.32 petang, 29 Januari lalu di rumah sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikuti Seksyen 31 (1) (a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Fadzli yang diwakili dua Peguam iaitu Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd. Razak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Pengakuan sama turut dikemukakan iZuraida yang diwakili empat peguam iaitu Zamri Idrus, Ishak Mohd. Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab. Rahman.

Terdahulu, pendakwaan bagi kedua-dua prosiding itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Badius Zaman Ahmad.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 Mac ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu dan bapa tirinya.

Kematian mangsa dilaporkan oleh bapa tirinya kepada polis, namun mendakwa kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air setinggi 0.6 meter di rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang.

Hasil siasatan dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa bagaimanapun menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini turut tular di laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak berusia dua bulan terpaksa menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandung.

Dalam klip video itu, ibu angkatnya kelihatan menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ berkenaan.

Ia ditonton kira-kira tiga juta pengguna Facebook dengan 74,000 kali dikongsi semula. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya