Suami isteri cari ibu kandung anak wanita Kemboja - Utusan Malaysia

Suami isteri cari ibu kandung anak wanita Kemboja

FADHILLAH Idris menunjukan sijil kelahiran anak angkatnya, Muhammad Tashriq Aqasya Abdul Fatah ketika ditemui di Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri mencari ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki bagi  urusan dokumentasi dan pengambilan anak angkat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Fadhillah Idris, 32, dari  Taman Daya di sini berkata,  Muhammad Tashriq Aqasya Abdul Fatah, 4, yang kini dalam jagaannya bersama suami, Mohd. Zaiqalahaqim Mohamad, 31,  tidak boleh melalui proses pengangkatan kerana JKM memerlukan maklumat ibu kandung kepada kanak-kanak itu.

“Kami memelihara Muhammad Tashriq sejak dia berusia setahun selepas mengambilnya daripada ibu saudara suami saya. 

“Muhammad Tashiq dilahirkan pada 13 Disember 2017 oleh wanita Kemboja yang dikenali sebagai Fidah Saleh yang ketika itu berusia 18 tahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut wanita itu, selepas dilahirkan Fidah terus menyerahkan bayinya kepada ibu saudara suaminya.

Kata Fadhillah, Muhammad Tashriq mempunyai sijil lahir dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor namun kanak-kanak itu juga bukan warganegara Malaysia.

“Kami  mahu menjejaki ibu kandung Muhammad Tashriq bagi menguruskan dokumentasi dirinya untuk dijadikan anak angkat dan seterusnya memohon kewarganegaraan buatnya.

“Namun mengikut maklumat, ibu Muhammad Tashriq  dikatakan sudah pulang ke Kemboja,” ujarnya.

Fadhillah memberitahu, dia dan suami sudah menganggap kanak-kanak itu seperti anak kandung walaupun sudah memiliki seorang anak sendiri kini berusia dua tahun.

Sehubungan itu, Fadhillah meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Fidah  untuk menghubunginya menerusi talian 018-202 4455. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN