PETALING JAYA: Walaupun banyak kes dilaporkan media berkaitan penipuan e-dagang dan Love Scam, masih banyak mangsa terpedaya dengan sindiket tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 6,337 kes penipuan e-dagang dengan jumlah kerugian RM43.5 juta direkodkan.
Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 1,697 kes melibatkan Love Scam dengan jumlah kerugian RM64.3 juta turut dicatatkan.
“Terbaharu, kita membuat serbuan di dua premis di Taman Putra Perdana, Puchong di sini dan menahan lima warga Nigeria termasuk seorang wanita.
“Kesemua mereka berusia antara 30 tahun hingga 35 tahun itu dipercayai terlibat dengan penipuan e-dagang dan Love Scam yang menyasarkan mangsa warga Thailand serta Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zainuddin, siasatan mendapati suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar.
Jelasnya, suspek giat mencari teman wanita dari pelbagai negara dengan menjadikan mereka sebagai akaun mule bagi digunakan untuk penipuan sindiket.
“Kita percaya dengan penahanan lima suspek ini pihak polis menyelesaikan dua kes Love Scam dan e-dagang.
“Turut dirampas empat komputer riba, 15 telefon bimbit, pasport dan kad pengeluaran wang automatik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Zainuddin turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada orang lain. – UTUSAN ONLINE