SHAH ALAM: Satu sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik lori treler membawa barangan kegunaan harian tumpas dengan tertangkapnya lima ahlinya, Isnin lalu.
Suspek berusia antara 35 tahun hingga 43 tahun termasuk seorang warga Kemboja ditahan dalam empat serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Dalam serbuan tersebut, sebanyak 150 ketulan mampat ganja seberat 149.23 kilogram dianggarkan bernilai RM373,075 dirampas.
Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, bertindak atas laporan, polis melakukan empat serbuan serentak di Subang Jaya, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.
Katanya, serbuan bermula pukul 6.15 pagi di Taman Perindustrian Subang Jaya dengan menahan dua lelaki termasuk warga Kemboja yang berstatus penduduk tetap sedang memunggah dadah daripada lori treler ke dalam sebuah kenderaan lain.
“Pada masa sama, kita menahan tiga ahli sindiket itu dalam tempoh 40 minit di Senawang, Negeri Sembilan dan Pantai Dalam serta Desa Petaling di Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan mendapati ketulan mampat ganja ini dipercayai untuk dibawa ke Senawang, Negeri Sembilan sebelum diedarkan bagi pasaran Kuala Lumpur dan Selatan Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.
Menurut Kamarulzaman, siasatan mendapati, modus operandi digunakan sindiket tersebut adalah dengan menggunakan lori treler membawa barangan keperluan harian untuk menyeludup dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak enam bulan lalu dan warga Kemboja yang ditahan bertindak sebagai pemandu lori selain mendapat bekalan dadah itu dari utara Semenanjung.
“Pemeriksaan rekod jenayah mendapati tiga daripada suspek ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan dadah, curi dan menyamar sebagai anggota polis.
“Hasil ujian air kencing terhadap semua suspek ditahan negatif. Dalam serbuan ini juga, kita merampas wang tunai RM51,500 dan empat kenderaan dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM500,000,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu dan Ahad ini bagi membantu siasatan serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE