PETALING JAYA: Kegiatan sindiket melombong mata wang kripto bitcoin yang mencuri elektrik bagi menjalankan aktiviti itu terbongkar selepas diserbu polis, Rabu lalu.
Sindiket yang beroperasi di tingkat atas premis dan bilik kedap bunyi di Bandar Sri Permaisuri Cheras di sini dipercayai bergerak aktif sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebanyak enam premis diserbu bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam operasi pukul 12 tengah hari itu.
Menurut beliau, siasatan mendapati kegiatan ini beroperasi sejak dua tahun lalu hingga mengakibatkan kerugian dialami TNB berjumlah RM3 juta.
“Seramai empat suspek berusia 31 hingga 45 tahun terdiri daripada dua lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan yang juga dalang utama. Dua suspek iaitu lelaki warga India dan Myanmar ditahan dalam serbuan pertama di sebuah premis kedai di Bandar Sri Permaisuri.
“Hasil soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan kedua ke atas lima lagi premis perniagaan di kawasan berhampiran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang juga pengusaha perlombongan bitcoin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.
Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan iaitu 264 mesin bitcoin, kabel elektrik (4), alat penjana (18) dan satu alat pengukur elektrik yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM800,000.
Ujarnya, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket mencuri elektrik bagi kegiatan bitcoin di ibu negara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan terbabit diminta untuk salurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 jam JSJ Kuala Lumpur di talian 03-21460670, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN